PETALING JAYA: Polis meninjau semula di sekitar pusat beli-belah di Damansara di sini, bagi mencari sebarang bukti baru yang dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes Faisal Halim disimbah asid pada Ahad lalu, kejadian yang menggemparkan negara serta dikecam pelbagai pihak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut giat dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit.
“Buat masa ini, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang melakukan siasatan secara terperinci termasuk reconstruct lokasi kejadian.
“Buat masa sekarang tiada pengakuan dibuat suspek berusia 30-an,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain memaklumkan, polis sedang menganalisis beberapa cap jari dipercayai ditinggalkan suspek di sekitar pusat beli-belah terbabit.
Beliau dilaporkan berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (cctv) di sekitar pusat beli- belah terbabit mendapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.
Dalam pada itu, Razarudin bekata, polis sedang mengenal pasti pemilik sebenar akaun Instagram ‘Muhammad Imran Suresh’ yang mengeluarkan kenyataan spekulasi berhubung kejadian simbah asid kepada pemain tonggak Selangor FC itu.
Rabu lalu, polis mengesahkan mengesahkan akaun Instagram yang menggunakan nama Muhammad Imran Suresh adalah palsu.
Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali dalam serangan di sebuah pusat beli-belah di tersebut kira-kira pukul 5 petang. – UTUSAN










