KUALA TERENGGANU: Seorang pesara syarikat swasta mengalami kerugian RM142,300 selepas tertipu dengan iklan jualan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Facebook, minggu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin, berkata, mangsa yang berusia 55 tahun itu tertarik dengan iklan jualan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero kononnya dilelong pihak bank berharga RM28,000.
Beliau berkata, setelah menghubungi suspek menerusi WhatsApp, mangsa telah membuat pindahan wang bagi tujuan deposit berjumlah RM6,450 dan bayaran insurans RM4,850.
“Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian diarahkan oleh suspek untuk menjelaskan bayaran pelepasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi kenderaan tersebut melalui 26 transaksi wang berjumlah RM131,000.
“Kesemua bayaran itu dibuat kepada enam akaun bank berbeza daripada 13 sehingga 17 Mei menggunakan duit simpanan persaraan mangsa.
“Suspek berjanji wang berkenaan akan dipulangkan sebaik urusan selesai namun dalam masa sama masih mendesak mangsa membuat bayaran atas pelbagai alasan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Khairi berkata, mangsa yang merasakan telah diperdaya oleh suspek kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan sebarang iklan di media sosial yang menawarkan harga barangan dengan nilai di bawah harga pasaran.
“Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum terburu-buru membuat transaksi bayaran bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atas talian,” tambahnya. – UTUSAN










