GEORGE TOWN: Khabar gembira buat rakyat Pulau Pinang apabila Kerajaan Negeri Perak bersetuju membekalkan air ke negeri ini melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan dipersetujui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, Projek Air Perak-Pulau Pinang itu adalah insiatif yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak sekian lama.
“Kita terima berita baik. Sultan Nazrin (Sultan Perak) dan Kerajaan Negeri Perak bersetuju untuk sediakan bekalan air dari Perak. Ia akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.
“Fasa pertama akan disalurkan ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal. Turut terlibat ialah ke Sungai Bakap sebab saya lahir di Sungai Bakap,” katanya ketika berucap dalam Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, semalam.
Pada 3 Januari lepas, Saarani dilaporkan berkata, Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka tidak dapat dilakukan tahun ini kerana perlu menunggu peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian, Perak selain perlu menyelesaikan terlebih dahulu proses berkaitan bekalan air terawat antara kedua-dua negeri.
Bagaimanapun, Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pemeteraian projek berkenaan yang ditunggu-tunggu sejak 2011.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, projek itu perlu dilaksanakan kerana ia bukan sahaja memanfaatkan Pulau Pinang tetapi negeri lain di utara semenanjung selain menjadi Pelan Kontigensi Air Pulau Pinang 2030 untuk meningkatkan bekalan air kepada 602 juta liter sehari.
Mengulas lanjut, Anwar berharap Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang dapat berunding secara profesional berhubung bekalan air antara kedua-dua negeri.
“Saya percaya hubungan yang baik dengan Kedah akhir-akhir ini dapat dikekalkan dan rundingan secara profesional boleh dibuat jika ada keperluan untuk Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah dalam isu bekalan air ini,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan belum membuat keputusan berhubung isu subsidi bahan api sama ada ia ditarik atau dikurangkan.
Justeru, beliau menempelak laporan negatif media asing termasuk mengenai isu pengurangan atau penarikan subsidi petrol dan diesel yang ia berlaku ekoran pendirian tegas Malaysia terhadap isu-isu politik semasa di peringkat antarabangsa hingga memungkinkan negara ‘diserang’.
“Umpamanya (isu) kasino. Tidak pernah dibincangkan, tidak pernah sampai kepada maklumat saya tetapi ia dijadikan isu yang panas.
“Kemudian pula isu penarikan (dan pengurangan) subsidi ini. Walaupun ada perbincangan awal, tidak ada keputusan muktamad mengenai tarikh pelaksanaannya kerana kaedah itu harus diterangkan supaya tidak membebankan rakyat.
“Apa prinsipnya? Prinsipnya apa sahaja penyasaran subsidi bagi saya tidak akan membebankan rakyat. Jadi, apabila media-media asing ini memainkan isu ini (subsidi), ia akan dimanfaatkan pula oleh puak pembangkang.
“Seolah pembangkang ini kiblat dia ialah media asing. Jadi, dia tidak fikir fakta. Sebab itulah (kena) tengok fakta,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama pemimpin masyarakat di sebuah hotel di Seberang Jaya, di sini semalam.
Kelmarin, terdapat laporan media asing yang mengatakan bahawa Malaysia mungkin mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini iaitu satu pembaharuan ekonomi bagi menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tokun di Bukit Mertajam, Anwar berkata, cadangan meletakkan seorang pemimpin bagi menjaga sebuah kampung dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu bertujuan memastikan setiap pemimpin bertanggungjawab secara langsung dalam menjaga kebajikan kampung. – UTUSAN










