KELMARIN, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di Rantau, Seremban, Negeri Sembilan sekali lagi terpaksa dihentikan sementara. Ia sekali lagi ekoran gangguan kualiti air mentah Sungai Linggi yang dikesan berbau minyak.
Masalah berkenaan menyebabkan pengeluaran air terawat dari LRA itu terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan, menyebabkan banyak kawasan khususnya di Port Dickson mengalami gangguan bekalan.
Isu yang berpunca pencemaran diesel atau petrol ke Sungai Linggi bukanlah perkara baharu malah berlaku berulang kali. Ia belum ditambah dengan masalah sampah-sarap. LRA Sungai Linggi pernah ditutup kerana sampah-sarap memenuhi muka air di loji berkenaan.
Tindakan undang-undang kepada pelaku dan amaran telah diberikan namun masalah sama tetap berlaku dan yang kembali menjadi mangsa adalah penduduk.
Sebagai satu daripada dua batang sungai utama di Negeri Sembilan, Lembangan Sungai Linggi yang turut meliputi negeri Melaka tidak lagi boleh dibiarkan berterusan tercemar.
Menurut aktivis alam sekitar yang juga Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail, masalah itu perlu diselesaikan dan mesti memerlukan tindakan segera semua pihak.
“Pihak berkuasa mesti memantau secara berterusan, dalam isu berkaitan kualiti air, tiga pihak yang juga yang terlibat secara langsung iaitu Jabatan Pengaiaran dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“PBT mesti melihat semua aktiviti kilang, perumahan dan lain lain aktiviti manusia mengikut peraturan dan tidak mencemar sungai. JAS pantau berkala kualiti air dan JPS pua pantau sungai dan aktiviti sungai selain memastikan zon penampan sungai dijaga dan dilindungi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isu utama masalah pencemaran sungai di negara ini adalah kurangnya kerjasama antara pihak terlibat dan ia bukan hanya melibatkan pencemaran tetapi juga isu tebatan banjir dan pelancongan.
Pencemaran Sungai Linggi bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi kerajaan, tetapi melibatkan masyarakat kerana ada segelintir yang seolah-olah tidak ambil peduli berkaitan kebersihan sungai.
Kekecewaan itu pernah dilontarkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang melihat tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan menyayangi sungai masih rendah seolah-olah kempen kerajaan selama ini yang menelan belanja jutaan ringgit tidak memberi apa-apa makna.
Sehingga pukul 9.30 pagi kelmarin, LRA Sungai Linggi masih belum beroperasi apabila air mentah berbau pada kadar dua ton. – UTUSAN










