Pensyarah, pelajar kolej komuniti cipta minyak aroma terapi

Pensyarah, pelajar kolej komuniti cipta minyak aroma terapi

FARAH Nadia Murad menunjukkan minyak aroma terapi yang dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Batu Gajah di Kampar, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Sekumpulan pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Batu Gajah dekat sini berjaya menghasilkan minyak aroma terapi dengan jenama Mist-U.

Idea untuk membuat minyak aroma terapi itu tercetus apabila warga institusi itu kerap selsema dan sakit kepala semasa sesi pembelajaran.

Pensyarah Kolej Komuniti Batu Gajah, Farah Nadia Murad berkata, idea itu tercetus melalui soal selidik yang dilakukan seorang pensyarah dan tiga pelajar institusi pendidikan itu.

“Soal selidik yang dijalankan ke atas warga kolej komuniti mendapati 70 peratus daripadanya kerap mengalami masalah selesema atau hidung berair pada waktu pagi.

“Sementara baki 30 peratus sering mengalami sakit kepala semasa sesi pembelajaran,” katanya pada Majlis Perasmian Jerayawara Smart Green Polycc Zon Perak 2024 dan Majlis Penyerahan Pokok Angkat di Dewan Banquet FAMA RTC Gopeng, di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, sejak menggunakan minyak aroma terapi dalam bentuk botol bersaiz kecil itu, ramai warga kolej itu kurang mengalami selesema dan sakit kepala.

“Memang banyak faktor yang mempengaruhi dua penyakit itu namun kita sekadar mencuba tanpa meminggirkan perubatan moden dan tradisional. Setakat ini, sambutan yang diterima amat baik iaitu lebih 2,000 botol terjual setakat ini dengan harga RM10 sebotol,” katanya.

Terdapat dua varian minyak aroma terapi itu iaitu lemon dan lavender.

Farah memberitahu, sebahagian hasil jualan produk seakan minyak angin itu disalurkan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ADDIN di Batu Gajah dan wang sampingan kepada pelajar sebagai ejen.

“Sekarang pelajar menggunakan sosial media dan TikTok untuk mempromosikan produk dengan video dan ‘story telling’ yang menarik sehingga berpuluh botol terjual dengan mudah begitu sahaja, malah ada yang mampu menambah wang saku untuk perbelanjaan harian hasil jualan minyak ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN