Penswastaan MAHB: Beri peluang syarikat tingkat kecekapan

Penswastaan MAHB: Beri peluang syarikat tingkat kecekapan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi peluang kepada syarikat itu untuk menumpukan usaha terhadap meningkatkan kecekapan, membuat keputusan strategik dengan lebih cepat selain memudah cara pelaksanaan hala tuju.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia sekali gus membolehkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi konsortium yang diterajui, meningkatkan lagi pegangan mereka dalam syarikat berkenaan.

“Itu adalah keputusan Khazanah, bukan keputusan MOT (Kementerian Pengangkutan). Mereka ambil keputusan untuk mengambil MAHB secara persendirian daripada pasaran saham, sudah tentu bagi MOT kita selari dan seiring dengan tindakan dan keputusan Khazanah kerana ini keputusan yang dibuat oleh mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi apabila ia dibawa sebagai satu ‘private entity’ di bawah sepenuhnya Khazanah dan KWSP sebagai aset strategik kerajaan dan negara, maka saya yakin pelbagai keputusan strategik dapat dilaksana dengan cepat,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah penstrukturan MAHB dan dakwaan bahawa Khazanah menjual syarikat itu kepada pihak luar.

Pada Rabu, media melaporkan Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran suka rela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium berkenaan, pada harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium itu diterajui oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia – Khazanah melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan KWSP.

Pemegang saham konsortium itu  juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad bahawa kerajaan menjual sebahagian saham MAHB kepada syarikat asing, beliau menegaskan perkara itu adalah tidak benar.

“Maklumat dia salah, dia kata kita jual, mana ada kita jual, Khazanah tak menjual MAHB, sebaliknya melalui langkah ini, Khazanah akan meningkatkan lagi pegangannya dalam MAHB.

“Andaian dia (Wan Ahmad Fahysal) bahawa kita jual (MAHB). Langkah ini tidak bermaksud Khazanah menjual pegangan mereka dalam MAHB, sebaliknya Khazanah dan KWSP meningkatkan lagi pegangan mereka dalam MAHB,” katanya.

Terdahulu menerusi satu hantaran video di laman Facebook, Wan Ahmad Fahysal mendakwa bahawa saham lapangan terbang dijual kepada sebuah syarikat dikenali Blackrock yang juga pro-Zionis, selain turut mendakwa Anthony Loke mengeluarkan kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×