Penolong pegawai veterinar didakwa empat tuduhan tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Penolong pegawai veterinar didakwa empat tuduhan tuntutan palsu

MOHD. Hisham Daud (kanan) didakwa atas empat pertuduhan membuat tuntutan palsu dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang penolong pegawai veterinar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM8,578.69 pada 2019 dan 2020.

Mohd. Hisham Daud, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Hisham didakwa telah meluluskan dokumen berupa indent kerja atau pesanan tempatan bernilai RM1,615.20, RM1,574.09, RM3,808.10 dan RM1,581.30 kepada sebuah syarikat.

Dokumen berkenaan mengandungi butir matan palsu melibatkan kerja-kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan walaupun sebenarnya perkhidmatan itu tidak dibuat.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Jabatan Perkhidmatan Veterinar di daerah ini antara Mac 2019 sehingga Jun 2020 dan didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes serta lantikan peguam dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dilarang menganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai dibicarakan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×