KUANTAN: Seorang peniaga runcit dan restoran dikenakan tindakan setelah didapati gagal menyelenggara buku stok barangan kawalan dalam Operasi Terjah Bersepadu oleh pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, di sini semalam.
Operasi yang bermula jam 10.30 pagi itu diadakan hasil aduan orang ramai di mana ia turut mendapat kerjasama sepasukan penguatkuasa dari Jabatan Imigresen Negeri Pahang dan dihadiri Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh.
Fuziah berkata, peniaga terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 13 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana kegagalan menyelenggara buku stok.
“Kita dapati ada peniaga ini tidak mempunyai buku stok. Buku stok ini supaya kita boleh tengok ke mana barangan kawalan dijual dan mereka tidak boleh jual barangan secara borong.
“Dalam perkara ini, kita buka kes di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman dengan maksimum RM1 juta bagi individu dan maksimum RM2 juta bagi syarikat,” katanya dalam satu sidang media selepas Operasi Terjah Bersepadu yang diadakan di sekitar bandar Kuantan, di sini.
Tambahnya, peniaga berkenaan juga dikesan melakukan ketirisan barang bekalan bersubsidi di mana minyak masak paket yang dijualnya turut digunakan untuk perniagaan restoran miliknya yang terletak bersebelahan kedai runcit terbabit.
Selain itu menurutnya, peniaga terbabit juga didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Fuziah dalam pada itu mengingatkan kepada peniaga agar tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi selain perlu memastikan tidak berlaku ketirisan. – UTUSAN










