HULU SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut tidak mahu menggunakan ‘isu’ peribadi di dalam kempennya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bagi menentang pencabar-pencabarnya.
Khairul Azhari berkata, beliau tidak mahu melakukan taktik tersebut kepada pencabarnya dan mahu berkempen secara sihat dan matang.
“Serangan peribadi antara calon ni, saya tidak mahu masuk campur. Itu bukan kerja saya, ia kerja tentera siber,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan isu sekolah vernakular terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut dilaporkan berharap isu sekolah vernacular itu akan ‘berterusan’ hingga hari pengundian 11 Mei ini.
Dalam perkembangan lain, Khairul Azhari berkata, pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu seperti memberi ‘tonik’ kepadanya untuk meneruskan kempen sepanjang PRK ini berlangsung.
“Penerimaan cukup baik terutama daripada masyarakat tempatan, jadi kita rasa seronok. Penat tu memang penat.
“Tetapi bila bertemu dengan pengundi, penat itu hilang seolah ada tonik untuk kita,” katanya.- UTUSAN










