Pengganas JI serang balai polis

Pengganas JI serang balai polis

RAZARUDIN Husain melihat senjata yang digunakan oleh seorang lelaki yang menyerang dan menembak anggota polis sehingga menyebabkan dua maut dan seorang cedera di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis maut manakala seorang ce­de­ra dalam serangan nekad ke atas Balai Polis Ulu Tiram, dekat sini oleh seorang pemuda yang disyaki ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Dalam serangan kira-kira pu­­kul 2.30 pagi semalam, suspek yang berusia 21 turut maut di­tembak oleh seorang anggota polis yang cedera dibahu semasa mem­balas tembakan suspek.

Dua anggota polis yang terkorban ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konsta­bel Muhamad Syafiq Ahmad Said, kedua-duanya anggota ron­da cegah jenayah yang telah ber­khidmat kira-kira dua tahun lalu.

Namun, identiti seorang anggota polis yang cedera masih belum didedahkan setakat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang memakai topeng dan berpakaian gelap dipercayai te­lah membuat persediaan rapi bagi melakukan serangan berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, suspek yang menunggang motosikal turut membawa sebuah beg yang diubah suai sebagai perisai dengan meletakkan zink, kertas dan baju di dalamnya.

Menurutnya, modus operandi serangan yang digunakan suspek adalah dengan dua individu lain datang ke balai polis untuk bertanyakan perkembangan siasatan kes cabul dua tahun lalu dipercayai bagi mengalihkan perhatian anggota di balai.

“Pada masa sama, suspek yang menaiki motosikal datang sebelum terus memasuki balai. Anggota polis yang menyedari kejadian itu terus mendapatkan suspek sebelum suspek terus menetak anggota tersebut pada leher sebanyak tiga kali.

“Suspek kemudian merampas senjata api anggota yang rebah, lalu terus melakukan tembakan ke atas anggota lain yang bertugas dan salah seorang anggota maut terkena tembakan pada pipi dan tembus ke kepala,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Ulu Tiram, di sini semalam.

Seorang lagi anggota polis, tambah Razarudin, cedera pada bahagian bahu terkena tembakan semasa membalas tembakan ketika mempertahankan diri sebelum menembak mati suspek.

Katanya, anggota tersebut mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kita tidak menolak kemungkinan serangan itu bermotifkan untuk merampas senjata api bagi melakukan serangan ke atas anggota keselamatan,” katanya.

Susulan insiden yang mengejutkan negara itu, seramai tujuh orang termasuk lima ahli keluarga suspek yang berusia antara 19 hingga 62 tahun turut ditahan dan akan direman hari ini.

Razarudin berkata, tangkapan itu melibatkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 serta 21 tahun yang membuat laporan polis sebelum kejadian berlaku.

“Selepas kejadian itu, polis telah melakukan serbuan ke atas kediaman suspek yang terletak di kawasan Ulu Tiram kira-kira pukul 6 pagi.

“Lima lagi ahli keluarga suspek yang berusia antara 19 dan 62 tahun diberkas bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.

Bapa suspek yang berusia 61 tahun turut dipercayai menjadi ahli kumpulan JI.

“Dua daripada suspek yang ditahan juga merupakan penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS),” katanya sambil memberitahu pihaknya turut merampas pelbagai risalah berkaitan kumpulan JI ketika menggeledah rumah suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN