Pengamal media perlu kuasai teknologi AI – PM

Pengamal media perlu kuasai teknologi AI – PM

ANWAR Ibrahim merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2024 sambil disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (dua dari kanan) di Hotel Waterfront, Kuching, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pengamal media kini perlu meneroka dunia digital dan menguasai teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi mendepani pelbagai cabaran pada masa akan datang.

Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada Pusat Latihan Kecemerlangan Bernama bagi me­ng­anjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi AI kepada pengamal media.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wartawan pada masa kini berdepan pelbagai cabaran berbanding wartawan veteran.

“Saya tidak menafikan bahawa golongan veteran telah banyak menyumbang kepada penyampaian informasi yang luas kerana kerja mereka telah membawa impak yang besar.

“Namun, bagi generasi media masa kini, mereka perlu menguasai AI bagi mendepani cabaran di mana mereka perlu mengangkat martabat dan nilai kemanusiaan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2024 (Hawana) di Hotel Waterfront, di sini semalam.

Selain peruntukan RM1 juta tersebut, Anwar juga turut me­ngumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana pada 2025.

Menurutnya, peruntukan itu bagi membolehkan lebih ramai veteran dan pengamal media yang mengalami kesusahan dan ditimpa penyakit menerima bantuan.

Sementara itu, mengulas me­ngenai kebebasan media, Anwar berkata, demokrasi yang bertenaga tidak akan dapat bertahan atau matang tanpa media bebas.

Katanya, negara perlu memberi ruang dan kebebasan kepada media untuk memberi idea, panda­ngan dan maklumat.

Bagaimanapun, tambah beliau, satu garis mesti dibuat untuk mengelakkan sebarang kemungkinan pergeseran, keberanian perkauman dan ketidakharmonian agama berlaku dalam negara.

“Sejujurnya, saya mahu menjadi Perdana Menteri yang berpegang kepada prinsip media bebas.

“Tetapi satu garis mesti dibuat seperti anda dibenarkan mengkritik atau tidak bersetuju dengan Perdana Menteri dan kerajaannya, tetapi sama sekali tidak dibenarkan untuk mencetuskan kebencian kaum atau terhadap royalti atau agama,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mene­gaskan bahawa kebebasan mesti diberikan kerana disitulah karya besar boleh diterbitkan.

“Karya hebat sama ada dalam sastera, budaya dan politik tidak boleh diterbitkan tanpa rasa kebebasan untuk menyatakannya de­ngan cara yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN