NARATHIWAT: Walaupun sudah lali dengan kejadian letupan bom, penduduk di Selatan Thailand tetap berhati-hati melakukan rutin harian susulan insiden terbaharu
di daerah Jok Irong dan Sukhirin di sini, kelmarin.
Kejadian dua letupan bom itu mengakibatkan seorang maut dan 13 individu termasuk seorang anggota polis cedera.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Sukhirin, Solas Hudin Chenea, 40, berkata, sudah lama tidak berlaku insiden letupan bom di kawasan tersebut dengan insiden terakhir tujuh tahun lalu.
“Penduduk setempat termasuk di kawasan Waeng dan Sukhirin kini berhati-hati melakukan aktiviti harian.
“Kami tetap berasa takut walaupun mengetahui kejadian letupan bom itu disasarkan kepada anggota keselamatan,” katanya.
Solas Hudin berkata, insiden letupan bom itu diketahui kira-kira pukul 8.30 pagi semasa berada di tempat kerjanya di Hospital Sukhirin.
Katanya, kawasan letupan bom dipercayai berlaku di Kampung Air Jambu yang jaraknya kira-kira lebih 20 kilometer dari rumahnya.
“Saya difahamkan tujuh anggota keselamatan cedera selepas terpijak bom yang dipasang di tepi jalan. Mereka telah dihantar ke Hospital Sukhirin untuk menerima rawatan awal dan seorang anggota meninggal dunia di hospital.
“Anggota yang cedera parah di bahagian kaki, terpaksa dipindah dari Hospital Sukhirin ke Hospital Songkhla Nakharin di Hatyai dengan menggunakan helikopter untuk menerima rawatan,” ujarnya. – UTUSAN










