ALOR SETAR: Sekumpulan penduduk di Hutan Kampung, di sini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kedah supaya menyiasat sebidang Tanah Rizab Melayu milik nenek moyang mereka yang didakwa berpindah milik kepada bukan Melayu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya memohon agar aduan tersebut disiasat secara telus dan mendalam ekoran ia melibatkan Tanah Rizab Melayu.
“Bagaimana ia boleh berpindah milik sedangkan statusnya masih tanah rizab. Kita syak ada unsur-unsur yang menyalahi undang-undang kerana mengikut Seksyen 6 Enakmen Simpanan Melayu 1930, jelas bahawa tanah ini tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu.
“Namun penduduk kampung ini mengadu tanah yang nenek moyang mereka beli berpindah milik daripada seorang lelaki India kepada lelaki Cina dan kemudian kepada sebuah syarikat,” katanya kepada pemberita di pekarangan pejabat SPRM Kedah, di sini hari ini.
MHO hadir ke Pejabat SPRM Kedah bersama lima daripada sembilan pengadu berkenaan yang membuat aduan sebagai tanda sokongan pihak mereka terhadap isu tersebut.
Tambah Hishamuddin, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana pindah milik tanah berkenaan berlaku sedangkan geran asal masih berada dalam simpanan penduduk kampung. – UTUSAN










