KUALA LUMPUR: Kes bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau popular dipanggil Papagomo atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung isu Israel diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, arahan yang diterima adalah untuk meneruskan pendakwaan kes berkenaan.
Menurut Deepa, pihaknya menerima representasi pada 18 April lalu dan AGC membuat keputusan menolak permohonan tertuduh hari ini.
“Berhubung representasi dikemukakan tertuduh pada 5 April lalu, arahan yang diterima daripada AGC pada pagi ini adalah untuk meneruskan kes dan representasi tertuduh ditolak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memaklumkan mahkamah, pihaknya sudah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh pengurusan kes dalam masa sebulan bagi menyerahkan bakinya.
Perkara itu disahkan peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakilinya
Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 4 Julai ini dan memutuskan meneruskan dengan tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan selama empat hari bermula 11 Julai ini.
Pada 8 Januari lalu, Wan Muhammad Azri, 41, yang juga blogger mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap pertuduhan itu.
Papagomo didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi’, pukul 1 tengah hari, 8 November lalu, di mana kata-kata berkenaan dilihat oleh seorang lelaki dikenali Hisham Sharudin, 42, di sebuah kondominium di Bukit Bintang.
Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.- UTUSAN










