Pendakwa gagal tunjuk motif Zulfarhan dicederakan, tiada bukti komputer riba wujud - Peguam

Pendakwa gagal tunjuk motif Zulfarhan dicederakan, tiada bukti komputer riba wujud – Peguam

ZULKARNAIN Idros (bapa Zulfarhan Osman) hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti rayuan kes melibatkan bekas penuntut-penuntut UPNM yang disabitkan mencederakan anaknya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Pasukan pembelaan berhujah di Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kewujudan komputer riba yang menjadi asas kepada perbalahan di antara Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain dan bekas penuntut-penuntut universiti itu.

Peguam A.G. Kalidas berhujah, kewujudan komputer riba yang didakwa dicuri oleh Zulfarhan tidak dibuktikan kerana peralatan itu serta resit pembelian tidak dikemukakan ketika perbicaraan didengar di Mahkamah Tinggi.

Oleh demikian, beliau menghujahkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan motif yang menjurus kepada kejadian Zulfarhan dipukul.

Sehubungan itu, peguam berkenaan menghujahkan, tidak wujud kes prima facie yang mewajarkan Mahkamah Tinggi memerintahkan 12 bekas penuntut itu membela diri terhadap pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail mencelah bahawa dalam kes tersebut, keterangan menyatakan mangsa dipukul oleh 19 penuntut selepas dituduh mencuri komputer riba.

“Soalan munasabah yang akan ditanya mengapa budak ini dipukul. Jadi, ceritanya mesti dikaitkan dengan isu komputer riba yang hilang.

“Mustahil kamu (pihak pembelaan) harap mahkamah akan percaya bahawa tiada motif mengapa dia dipukul,” ujar beliau yang mengetuai panel bersidang mendengar rayuan 12 bekas penuntut itu terhadap hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan, 21.

12 penuntut itu ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Sementara itu, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff berhujah agar bekas penuntut-penuntut tersebut dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik kerana mereka pesalah muda dan tidak pernah terlibat dalam rekod jenayah.

Beliau berhujah, jika dikenakan hukuman penjara, mereka akan dibuang kerja manakala sebahagiannya telah berkahwin dan mempunyai anak.

“Ekoran kes itu, mereka tidak dibenar melanjutkan pelajaran di UPNM, seterusnya terpaksa mencari pekerjaan menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bukan itu sahaja, mereka berdepan saman oleh kerajaan kerana perlu membayar hutang biasiswa sebanyak RM30,000  kerana gagal menamatkan pengajian,” katanya.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein berhujah, kes tersebut menyebabkan kehidupan anak guamnya terumbang-ambing walhal mereka pelajar pintar, namun sebahagiannya terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing dan berkecimpung dalam bidang perladangan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail selaku responden berhujah, dapatan hakim Mahkamah Tinggi menyatakan kecederaan terhadap Zulkarnain menunjukkan ia dilakukan oleh perayu-perayu.

Beliau menghujahkan bahawa elemen pertuduhan telah dibuktikan yang mana ia berdasarkan kehilangan komputer riba sehingga menjurus kepada kejadian pukul.  

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×