Pemuda hilang dijumpai di kawasan paya bakau

Pemuda hilang dijumpai di kawasan paya bakau

MUHAMMAD AZFAR (tengah) dipapah oleh anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika dijumpai selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu semasa mendaki bukit Hill Top di Batu Kawan, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Seorang pemuda yang dilaporkan hilang ketika keluar berjoging dan mendaki bukit di Hill Top di sini sejak Sabtu lalu dijumpai dalam keadaan selamat.

Mangsa, Muhammad Azfar Ismail, 29, dijumpai di kawasan paya bakau di jeti berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, di sini kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Chong Boo Khim berkata, ketika ditemui oleh nelayan tempatan, Muhammad Azfar bagaimanapun berada dalam keadaan lemah dan keletihan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya mengalami luka calar-balar sedikit di bahagian tangan.

“Rawatan awal telah diberikan oleh petugas di lokasi sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.

CHONG BOO Khim (bersama) bersama sebahagian daripada anggota keselamatan dan penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemuda yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika mendaki bukit Hill Top di Batu Kawan, Pulau Pinang

Mengulas lanjut, Boo Khim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bermula 19 Mei lalu iaitu kira-kira pukul 2 pagi selepas menerima laporan berhubung kehilangan mangsa.

Katanya, abang mangsa turut memaklumkan bahawa mangsa sudah biasa mendaki bukit berkenaan sebelum ini.

“Kita dapatkan bantuan agensi lain antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung untuk bekerjasama dalam mencari mangsa.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam operasi ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN