PETALING JAYA: Tujuh anggota polis termasuk seorang berpangkat asisten komisioner yang direman berhubung pemerasan kes kripto RM1.25 juta kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Selain asisten komisioner, kes itu melibatkan seorang deputi superintenden, tiga inspektor dan masing-masing seorang anggota berpangkat sajan serta lans koperal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua pegawai dan anggota berusia antara 32 tahun hingga 50 tahun itu direman 28 hari bermula kelmarin mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012.
“Hasil risikan dan siasatan mendapati kumpulan ini bertindak secara bersama melakukan jenayah kesalahan serius dengan tujuan mendapatkan faedah.
“Justeru, penahanan ini bagi membantu siasatan lanjut sekiranya terdapat elemen lain,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut Razarudin, seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat inspektor juga ditahan selepas menyerah diri kelmarin.
“Individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4(1) SOSMA 2012 dan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini”katanya.
Pada 3 Mei lalu, Razarudin dilaporkan berkata, tiga pegawai berpangkat asisten komisioner (ACP), deputi superintendan (DSP) dan inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, di sini bagi membantu siasatan kes pemerasan itu, susulan laporan polis yang dibuat malam sebelumnya.
Dua lagi yang ditahan, masing-masing seorang inspektor dan sarjan. Susulan penahanan kelima-lima individu terbabit, polis kemudian menahan seorang lagi lans koperal yang berkhidmat di jabatan yang sama.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang /Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










