'Papa periang, tegas bertempat'

‘Papa periang, tegas bertempat’

AHLI keluarga yang hadir pada pengebumian jenazah Allahyarham Hail Amir di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: “Papa seorang periang, tegas tetapi bertempat. Rumah tak pernah sunyi kalau ada papa, tetapi sekarang papa tiada lagi.”

Demikian perkongsian Lutfi Ameer, 26, anak kepada Allahyarham Datuk Hail Amir, 76, ketika ditanya sisi ayah seniman tersebut dari sudut pandangan mata mereka.

Kongsi Lutfi, Hail meninggalkan kenangan dan pengajaran besar dalam hidup anak-anak bukan sahaja sebagai bapa tetapi memberi inspirasi kepada mereka.

“Bila Allahyarham meninggal, perginya seorang figura yang sangat penting dalam hidup saya. Bukan sahaja sebagai bapa, tetapi dia adalah inspirasi buat kami adik-beradik dalam kehidupan ini.

“Sebelum papa menghembuskan nafas terakhir, tiada apa-apa pesanan istimewa. Tapi papa selalu cakap dekat kami supaya jaga diri baik-baik.

“Sepanjang hidup, dia memberi terlampau banyak kenangan untuk kami satu keluarga,“ katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, semalam.

Allahyarham Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira pukul 3.48 petang kelmarin akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Dalam pada itu, Lutfi berkata, lagu dan filem bapanya kekal menjadi pengubat rindu mereka sekeluarga biarpun sosok hebat itu sudah pergi ke negeri abadi buat selama-lamanya.

“Setiap lagu dan filem papa, itu adalah peninggalan paling berharga dan bonus kepada kami sekeluarga yang tidak semua orang ada. Kami akan hargai itu semua sehingga akhir hayat.

“Ada sesetengah orang mungkin meninggalkan tanah atau harta, tapi papa tinggalkan kami dengan khazanah karya seni yang tidak ternilai harganya.

“Meskipun papa sudah tiada, karyanya akan sentiasa mengubati rindu kami sekeluarga. Suaranya akan berkumandang sampai bila-bila,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×