YAN: “Saya ikhlas mohon maaf, bukan berlakon.
Demikian ungkap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjawab tindakan segelintir warganet yang mempersenda dan mengecam permohonan maaf beliau dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Jitra malam tadi.
Muhammad Sanusi berkata, sebagai manusia biasa beliau tidak terkecuali daripada melakukan kekhilafan termasuk dalam berkata-kata.
“Kalau jumpa di mana-mana pun orang lebih tua pada saya macam itu lah gaya saya. Saya bukan berlakon, saya jadi diri saya yang sebenar.
“Saya nampak komen-komen di media sosial, baik pun salah tak baik pun salah, jadi depa semua itu setan. Kalau kita berbuat baik sesama umat manusia pun tidak disukai itu kerja syaitan. Bila orang sakit hati tengok satu benda baik, dia mewarisi sifat syaitan jadi berhentilah jadi setan, jadilah manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala yang kini dikenali sebagai Pusat Mempelam Kedah di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata demikian mengulas tindakan sesetengah pihak di media sosial yang memperlekeh dan mengecam permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai umat Nabi Muhammad di akhir zaman, umat Islam perlu melakukan sebanyak mungkin kebaikan apatah lagi memohon maaf sesama insan yang menandakan seseorang itu berjiwa besar.
“Saya minta maaf zahir dan batin sama ada dari segi adat dari segi budaya, tetamu mai tempat kita tentu lah kita kena hormat, itu wajib menurut nabi. Ada hadisnya, jadi beramal dengan hadis, panduan-panduan Islam itu wajib, apa yang sakit hati sangat,” soalnya.
Akhbar ini semalam melaporkan Muhammad Sanusi buat pertama kali memohon maaf di hadapan Anwar dan beberapa menteri Kabinet pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat Kedah di Kubang Pasu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, permohonan maaf itu adalah bagi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ selama beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dan atas kapasiti politik. -UTUSAN










