GEORGE TOWN : Sebanyak 18 buah kenderaan disita manakala 151 saman turut dikeluarkan dalam operasi pencegahan jenayah bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah Barat Daya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, selain membendung samseng jalanan yang melibatkan mat rempit, operasi ini juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada selain mengikut spesifikasi kenderaan yang telah ditetapkan.
“Kesemua 18 kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 151 saman itu pula telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Operasi ini juga tertumpu di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya dan mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Kamarul Rizal, dalam operasi itu juga, polis turut menahan 26 individu atas pelbagai kesalahan termasuk masing-masing empat melibatkan kes jenayah dan komersil serta 18 kes berkaitan narkotik.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana menjadi ‘keldai akaun’ kepada satu sindiket yang memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman tidak wujud, baru-baru ini.
“Mangsa telah membuat beberapa transaksi secara atas talian ke dua akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 2,680 dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan di laman sosial.
“Dalam hal ini, polis juga menyarankan supaya orang ramai membuat semakan terlebih dahulu terhadap nombor akaun yang diberikan oleh suspek di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi semak Mule CCID di Google Play Store sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.-UTUSAN










