SHAH ALAM: Isteri mangsa tragedi pokok tumbang dekat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Selasa lalu mengakui hilang pencari nafkah selepas pemergian suaminya, Allahyarham Md. Rizal Atan, 47, dalam tragedi tersebut.
Menurut Nor Pahidah Mat Zaman, 43, suaminya merupakan pencari rezeki tunggal buat keluarganya selepas dia berhenti kerja sejak tujuh tahun lalu.
“Pekerjaan saya yang terakhir adalah sebagai ejen separuh masa dekat sebuah agensi pelancongan. Selepas itu, saya berhenti kerana untuk beri tumpuan membesarkan empat orang anak.
“Tetapi sekarang ini, saya mati akal kerana suami sudah tiada lagi. Dengan umur saya sekarang, ada tak mana-mana syarikat yang mahu ambil saya bekerja,” katanya ketika menerima lawatan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dekat rumah adik iparnya di Seksyen 24, hari ini.
Jelasnya, perbelanjaan pendidikan tiga orang anaknya menjadi kebimbangan utamanya ketika ini, selain perbelanjaan harian keluarga dan bayaran sewa rumah dengan jumlah keseluruhan melebihi RM2,000 sebulan.
Kata Nor Pahidah, bagaimanapun dia bersedia untuk kembali bekerja selepas anak bongsunya, Nur Ireen Iedreena Md. Rizal, 4, sudah bersekolah di sekolah rendah.
Dalam pada itu, dia memberitahu, arwah suaminya tidak menunjukkan tanda-tanda akan pergi selama-lamanya sebelum dia keluar bekerja pada hari kejadian.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada hari-hari terakhirnya. Dia sempat bersalam dengan saya sebelum bergerak ke tempat kerja.
“Arwah sangat rapat dengan semua anak. Apa sahaja anak mahukan, dia akan sedaya upaya belikan apa yang diminta mereka,” luahnya yang sudah 19 tahun melangsungkan perkahwinan dengan Md. Rizal.
Walau bagaimanapun, Nor Pahidah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan bantuan kepadanya ketika ini, terutama Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk meringankan beban dihadapinya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, institusi kewangan Islam itu mendapati keluarga Nor Pahidah layak mendapat bantuan selepas meneliti statusnya yang tidak bekerja.
Menurutnya, LZS ketika ini memberikan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500, bantuan sewa rumah dan bantuan makanan secara bulanan.
“Anak Allahyarham layak menerima bantuan pembiayaan pendidikan daripada LZS, namun perlu mengemukakan dokumen kepada LZS,” ujarnya. – UTUSAN










