KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu mengesan enam kesalahan oleh agensi pelancongan dalam operasi di sekitar bandar raya ini sejak semalam dan hari ini.
Pengarah MOTAC negeri, Mazshida Ruslal, berkata, jumlah itu termasuk tiga di bawah Seksyen 20 Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 iaitu menggunakan kenderaan tidak dilesenkan sebagai kenderaan persiaran.
Mazshida berkata, tiga lagi kesalahan dikesan di bawah Seksyen 5(2) akta sama iaitu mengatur atau mengendalikan rombongan pelancong tanpa lesen agensi pelancongan yang sah.
Selain itu, menurutnya, dua notis turut dikeluarkan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2020 iaitu kesalahan menggunakan bas sekolah sebagai bas persiaran.
“Operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ini dibuat bagi memastikan pematuhan membabitkan permit atau lesen agensi pelancongan.
“Hasil pemeriksaan di sembilan lokasi tumpuan pelancong, MOTAC mengesan enam kesalahan iaitu tiga tanpa pemandu pelancong berlesen dan tiga salah guna bas sekolah sebagai bas persiaran.
“Justeru itu agensi-agensi pelancongan diingatkan agar mematuhi peraturan di bawah AIP 1992 dan tidak ghairah mengejar keuntungan terutama ketibaan musim cuti sekolah ketika ini,” katanya.
Mazshida berkata demikian kepada pemberita pada hari terakhir operasi bersepadu MOTAC bersama JPJ dan JPN di perkarangan Muzium Negeri di Kampung Losong dekat sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, MOTAC sebagai kementerian bertanggungjawab mengawal selia sektor pelancongan akan meningkatkan penguatkuasaan membabitkan lesen atau permit agensi pelancongan.
Katanya, agensi yang didapati melanggar peraturan boleh diheret ke mahkamah untjk tindakan undang-undang dan berdepan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.- UTUSAN










