PETALING JAYA: Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion atau RM10.5 bilion dalam tempoh empat tahun mendatang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu dimaklumkan ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, jumlah itu adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
“Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan Kecerdasan Buatan (AI) serta pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang.
“Selain itu, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan itu yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh.
Katanya, ia termasuk dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.
“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus Kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara.
“Usai kunjungan hormat, saya dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum. Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini,” katanya.
Perdana Menteri mengharapkan semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft itu dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya. –UTUSAN










