Mengapa prosiding RCI Batu Puteh dilakukan secara rahsia? - Tun M

Mengapa prosiding RCI Batu Puteh dilakukan secara rahsia? – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, beliau tidak diberi notis berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan diadakan hari ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau atau peguamnya menjangkakan dipanggil untuk hadir dan mengikuti prosiding tersebut sepenuhnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya cuba menghadirkan diri dengan mengemukakan beberapa permohonan dan bantahan, namun semuanya ditolak serta prosiding tetap diteruskan secara tertutup.

“Sebelum ini banyak tohmahan dan tuduhan telah dibuat oleh anggota-anggota kerajaan terhadap saya secara terbuka dan ini termasuk kononnya saya membuat keputusan terhadap rayuan kes Pulau Batu Puteh itu secara sendirian ataupun sembunyi-sembunyi.

“Ini tidak benar dan sepanjang ingatan saya sebelum saya membuat keputusan saya telah rujuk kepada pejabat Peguam Negara serta mendapat pandangan dari peguam-peguam yang berkaitan,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau kemudiannya membentangkan perkara tersebut kepada anggota-anggota Kabinet dan kesemuanya secara kolektif bersetuju tidak meneruskan rayuan tersebut.

“Antara yang hadir ialah Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Anthony Loke, Gobind Singh dan Datuk Seri Mohamad Sabu. Semua ini terdapat dalam rekod kerajaan.

“Kerana itu saya atau peguam saya perlu diberi hak untuk hadir sepanjang prosiding tersebut,” katanya.

Beliau berkata, prosiding tertutup itu dilakukan tanpa sebarang permakluman kepada mana-mana pihak dan diadakan secara rahsia.

“Selain memohon hak untuk saya dan/atau peguam saya hadir untuk sepanjang prosiding RCI tersebut, peguam saya juga membuat beberapa permohonan lain termasuk memohon penarikan diri Tun Md. Raus Sharif (Penerusi RCI), Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu (Pesuruhjaya RCI) dan Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir (Pesuruhjaya RCI) kerana wujudnya konflik.

“Ada beberapa lagi permohonan yang dibuat yang akan saya perincikan kemudian nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN