Mendengar semula Therapist - Utusan Malaysia

Mendengar semula Therapist

AHMAD Firdhaus Ramlan (kiri) didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUGIRAN akan lahir dan mati. Itu realitinya, di mana-mana.

Kalau boleh kawal takdir, saya tak mahu Neutral Milk Hotel mati selepas album In The Aeroplane Over The Sea tapi itu mustahil. Saya perlu terima kenyataan.

Tapi matinya seperti manusia. Kalau ada peninggalan penting yang ditinggalkan semasa hidup, semangatnya akan terus hidup. Cuma lebihnya kugiran berbanding manusia: kalau jasad pendirinya masih bernafas, ada peluang ia kembali hidup.

Atau hidup tapi terpecah-pecah sebab anggotanya bergaduh.

Hentak kepala

Glistening Redchair (GRC) belum mati cuma saya tak tahu hayatnya akan bertahan berapa lama lagi. Terbitannya terakhirnya pada Disember 2022, sebuah lagu gemilang bertajuk FIRSTCUT//ETERNALPAIN.

Selepas itu, kugiran yang digerakkan Gheff Abd Ghafar itu berteleku lama. Ada buat persembahan sekali-sekala tapi yang terakhir pada Jun 2023. Gheff lebih selesa menjadi podcaster dan pencinta, selain menyarung kemeja ke tempat kerja lima hari seminggu.

Ada hal yang saya bincangkan dengan Gheff baru-baru ini dan ia menggerakkan saya untuk mendengar Therapist, lagu kegemaran saya dari album dengan tajuk sama yang terbit pada 2018.

(GRC selalu merujuk terbitan itu sebagai EP tapi bagi saya, ia cukup sifat sebagai sebuah album).

2018 ialah tahun saya sibuk nak ambil tahu pasal isu politik. Tahun itu berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-14 dan saya pula sedang mabuk dengan kedudukan sebagai wartawan yang ada akses lebih pada isu politik. Muzik tak dipeduli sangat.

Jadi, terlepaslah saya mahu menghargai sebuah terbitan hebat.

Album Therapist antara terbitan paling menarik dalam koleksi saya. Mula menghargainya selepas beberapa kali menonton GRC secara langsung.

Malah, antara pengalaman paling menarik saya menonton gig adalah apabila adik Gheff, Rifqi datang ke sebelah semasa GRC memainkan lagu Therapist. Dia pegang bahu saya. Dia pandang saya, saya pandang dia. Kemudian dia hentak kepala sepenuh hati. Saya faham isyaratnya, lalu saya pun hentak kepala sepenuh hati.

Berat lagi gelap

Therapist menarik sebab ia berkonsep. Ideanya datang dari sebuah dokumentari, Child of Rage yang diterbitkan pada 1992. Tentang seorang budak perempuan mangsa dera seksual, Beth Thomas yang setiap malam mahu cederakan adik serta ibu bapa angkatnya.

Cerita Beth gelap (walau kini wanita itu sudah pulih dari trauma waktu kecil dan hidup bahagia seperti manusia lain) sampai membayangkan ahli keluarga angkatnya mati.

Dan GRC membuat pilihan kreatif yang bijak dengan meletakkan audio temu bual Beth bersama ahli terapinya pada trek pertama, dilatari permainan gitar ringkas. Ia seakan amaran yang pendengar sedang memasuki pengalaman audio yang berat dan gelap.

Dan lagu-lagu yang disusun selepas itu betul-betul berat dan gelap. Bukan sahaja muziknya – GRC tidaklah seberat kugiran metal lain – tapi liriknya bercerita tentang hal-hal yang memberatkan emosi dan fikiran.

Bukan hanya dokumentari Child of Rage, sebahagian ilham album tersebut juga datang dari tragedi yang menimpa kanak-kanak di negara ini. Nurin Jazlin Jazimin, Ang May Hong, Nursyuhada Burak dan Nurul Huda Abdul Ghani, nama mereka tercatat dalam sampul album fizikal Therapist.

Ada lagu yang menyorot pengalaman mangsa rogol, kekusutan fikiran pendosa, debar ibu yang membuang anak — ini album yang menggolak hati jika didengar dengan bersungguh.

Bawah radar

Saya perasan, tak ramai yang bercakap tentang album ini. Mungkin yang paling komprehensif ialah temu bual Junklist dengan Gheff dalam rancangan Bedah Lirikal di Youtube.

Ia mungkin terperosok di bawah radar ramai pemerhati muzik, apatah lagi pendengar. Tapi ia sebuah terbitan yang baik dan seharusnya diingati.

Banyak hal menarik. Selain ilham yang diceritakan panjang lebar di atas, saya tertarik dengan penggunaan riff sama pada tiga lagu, Let’s Pretend Love Doesn’t Exist, Therapist dan Thank You Depression.

Bukan hanya pada tahap idea – idea menggunakan riff sama untuk menjahit lagu-lagu itu sebagai satu kumpulan terbitan sangat bijak – malah riff itu, bagi saya, tahapnya ikonik. Ia mudah diingati dan beremosi. Kalau GRC hasilkan lebih banyak, dengan mudah mereka berada di bawah Butterfingers sebagai raja riff ikonik Malaysia.

Saya juga suka pada pendekatan lirikal GRC. Jika didengar pertama kali, ada perkataan yang dirasakan janggal (ini termasuk lagu-lagu dalam album Celestial) tetapi kita melarut selesa mendengarnya buat kali yang lain-lain.

Ini mungkin kerana Gheff lebih mengutamakan penceritaan dan ketepatan makna berbanding kepuitisan atau rima. Ini menyenangkan bagi saya sebab ia datang dari penulis lirik yang belum menulis karya-karya lain (selain beberapa artikel muzik yang ringkas).

Beruzlah di Seri Iskandar

Saya mengharapkan GRC akan terus aktif tapi hal sebegini tak boleh dipaksa-paksa, lebih-lebih lagi dalam persekitaran muzik alternatif Malaysia yang tidak menawarkan untung kewangan kepada pengkarya.

Ketika FIRSTCUT//ETERNALPAIN keluar, saya membayangkan GRC yang lebih keras, ringkas dan berkesan akan muncul. Ia antara terbitan paling segar pada 2022.

Tapi GRC memilih untuk berteleku. Mungkin sebuah uzlah muzik. Kita tak tahu.

Cuma secara peribadi, saya hargai juga kesenyapan GRC ketika ini sebab ia memberi ruang untuk saya menggali karya-karya lama mereka.

Setakat ini, EP Guide Us Into Believing (2017) belum memanggil-manggil untuk digali dalam. Mungkin akan sampai masanya nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya