SEPANG: Bukan hanya memberi pil kepada teman wanitanya sehingga keguguran, seorang mekanik kemudian tergamak menanam janin itu bagi menyembunyikan kelahiran.
Tindakan suspek berusia 21 tahun itu akhirnya terbongkar sebelum berjaya ditahan polis Rabu lalu di Taman Tasik Puchong susulan laporan dibuat pihak hospital.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, suspek ditahan di Taman Tasik Puchong kira-kira pukul 7.30 petang.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebatang cangkul yang digunakan suspek untuk menanam janin berkenaan.
“Kami menerima laporan polis dari sebuah hospital mengenai seorang perempuan berusia 19 tahun yang menerima rawatan akibat keguguran.
“Soal siasat mendapati, wanita berkenaan adalah kekasih suspek. Malah, siasatan lanjut juga mendedahkan wanita itu mengalami keguguran selepas memakan pil diberikan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Shan Gopal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, buat masa ini, pihaknya hanya menahan suspek memandangkan teman wanitanya masih menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.
“Wanita tersebut masih dalam rawatan. Pihak polis akan ambil tindakan setelah wanita tersebut pulih,” katanya.
Katanya, beliau juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita tidak sahih berhubung kes ini.- UTUSAN










