PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) berjaya merampas pelbagai barangan kontraban dalam operasi khas bersepadu di Sarawak pada 14 hingga 16 Mei lalu.
MCBA dalam kenyataan berkata, operasi yang diselaraskan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merampas sejumlah besar daging sejuk beku, bir, rokok, dan beras putih dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM4 juta.
Jelasnya, dengan rampsan itu ia menunjukkan kejayaan besar dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan di negara ini.
“Operasi khas ini adalah sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu ketirisan di pintu masuk negara dan membanteras aktiviti penyeludupan serta melindungi keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCBA menambah, operasi itu juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Cawangan Kawal Selia Padi dan Beras Sibu, Sarawak.
“Kerjasama erat antara agensi-agensi ini telah memainkan peranan penting dalam kejayaan operasi ini.
“MCBA bersama-sama agensi penguatkuasaan yang lain, komited untuk terus bekerjasama dalam usaha membanteras penyeludupan dan melindungi keselamatan sempadan negara,” ujarnya. – UTUSAN









