MBPP bersih pokok tumbang, ranting patah halang laluan akibat ribut

MBPP bersih pokok tumbang, ranting patah halang laluan akibat ribut

SEKURANG-KURANGNYA 10 lokasi terlibat dalam kejadian pokok tumbang atau ranting patah hingga menghalang laluan gara-gara ribut dan angin kencang di sekitar George Town, Pulau Pinang, malam tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hujan lebat dan angin kencang di beberapa tempat di negeri ini termasuk di sekitar bandar ini sejak malam tadi mengakibatkan beberapa batang pokok tumbang dan ranting patah sehingga menghalang laluan.

Jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, sejak pukul 11 malam semalam hingga 1 pagi tadi, sebanyak 10 lokasi pokok tumbang dan dahan patah telah dilaporkan kepada petugas aduan hotline MBPP.

“Kesemua aduan tersebut telah disalurkan serta-merta kepada Pasukan Pengurusan Bencana MBPP untuk tindakan segera.

“Antara kawasan yang terlibat ialah Pintasan Cecil, Taman Bukit Gelugor, Jalan Bell, Jalan Burma, Park Road, Jalan Biggs, Jalan Cantonment, Berhadapan Menara KWSP, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Macalister dan Flat Hamna, Jalan Sungai Dua,” katanya di sini, hari ini.

BEBERAPA petugas MBPP dilihat sedang berusaha membersihkan laluan yang terhalang akibat pokok tumbang dan ranting patah gara-gara ribut dan angin kencang di sekitar George Town, Pulau Pinang lewat malam tadi

Menurut jurucakap tersebut, Skuad Pantas MBPP telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja pemulihan di kesemua lokasi tersebut.

“Bagaimanapun, kerja-kerja di Flat Hamna, Jalan Sungai Dua terpaksa ditangguhkan sementara waktu kerana memerlukan jentera besar selain disebabkan oleh faktor keselamatan petugas,” katanya.

Tambahnya, Pasukan Skuad Pantas MBPP sentiasa bersedia memikul amanah melaksanakan tugas-tugas mereka tanpa mengira waktu dan cuaca demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

“MBPP turut merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pasukan bomba serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang turut membantu menyegerakan tindakan pemulihan.

”Terima kasih juga diucapkan kepada semua orang awam yang membantu menyalurkan maklumat atau aduan kepada Hotline MBPP Sebarang aduan mengenai pokok tumbang, tanah runtuh dan sebagainya, sila hubungi Hotline MBPP di talian 04-263 7000 atau 04-263 7637 dan 016-2004082 (WhatsApp),” katanya.

Dalam pada itu, hujan lebat dan angin kencang turut berlaku di beberapa lokasi di Seberang Perai. Bagaimanapun, tidak ada sebarang kemusnahan atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN