KEPALA BATAS : “Arwah seorang wanita kuat dan ringan tulang kerana dia bukan sahaja cekap membahagikan masa untuk menguruskan keluarga, malah, aktif dalam aktiviti persatuan di taman perumahan kami.”
Itu kata Asmah Ismail, 46, yang juga sahabat baik kepada mangsa tragedi kereta terjunam dalam tali air di Jalan Lahar Kepar, Penaga di sini, pagi tadi iaitu Siti Hawa Mohd Isa, 40.
Menurut bomba, Siti Hawa lemas akibat terperangkap dalam kereta jenis Perodua Alza itu selepas mangsa gagal keluar ketika kereta berkenaan terjunam ke dalam air yang deras.
Asmah berkata, beliau mengenali Siti Hawa lebih 15 tahun yang lalu iaitu sejak tinggal berjiran selain sama-sama aktif dalam menyertai aktiviti bacaan Yassin anjuran Kumpulan Yassin Nur Hidayah Bertam Perdana 3, di sini.
“Arwah yang memegang jawatan bendahari adalah ahli kumpulan yang paling muda serta seorang yang sangat rajin dan tidak berkira.
“Dia yang akan memandu kami ke mana-mana malah akan mengajak kami untuk ke pasar bersama-sama sekiranya mahu membeli barangan basah.
“Kelmarin adalah terakhir saya bertemu dia dan walaupun tidak berjumpa, setiap hari arwah akan menelefon bertanya khabar saya dan beberapa sahabat lain malah, dia juga aktif berbual dalam ‘group’ (kumpulan) Whatsapp,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kepala Batas (HKB) di sini, hari ini.
Selain Asmah, turut berada di situ ialah dua lagi rakan baik mereka iaitu Rahmah Awang, 53, dan Sarimah Saidin,50.

Sarimah, dalam pada itu berkata, Siti Hawa singgah ke rumahnya semalam untuk meminjam mesin pemeriksa tekanan darah.
“Selalunya kami akan ke pasar bersama-sama, namun, disebabkan masing-masing ada urusan lain hari ini, arwah bersendirian untuk menghantar kuih sebelum singgah ke pasar,” katanya yang menambah, meskipun merasai kehilangan Siti Hawa, namun, mereka bersyukur kerana proses pengurusan jenazah arwah berjalan pantas dan lancar.
Sementara itu, suami arwah, Mahdzir Mat, 54, berkata, arwah isterinya gigih menguruskan keluarga selepas dirinya ditimpa kemalangan beberapa tahun lalu.
“Selain itu, arwah mengasuh kanak-kanak dan membuat kuih untuk dijual setiap Sabtu dan Ahad,” katanya yang memberitahu, dia hanya mengetahui mengenai itu selepas anak sulung mereka menerima panggilan telefon daripada jiran.
Jenazah ibu kepada lima anak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Langsat. -UTUSAN










