Mangsa ribut tunggu bantuan baiki bumbung rumah

Mangsa ribut tunggu bantuan baiki bumbung rumah

HASMA Dan menunjukkan kanvas yang digunakan untuk menutup sebahagian bumbung rumah yang rosak dibadai ribut di Kampung Telok Wang Kechil, Kuala Muda, Sungai Petani, semalam. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Mangsa ribut di empat mukim dalam daerah Kuala Muda semakin tertekan selepas tidak menerima sebarang bantuan bagi kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak akibat kejadian itu.

Dakwa mereka, walaupun pelbagai pihak tampil namun bantuan yang diterima hanyalah bahan makanan sedangkan ke­perluan utama adalah wang untuk membaiki rumah agar kembali selesa didiami.

Seorang mangsa Hasma Dan, 65, dari Kampung Telok Wang Kechil berkata, dia sekeluarga dalam dilema untuk mencari wang bagi membaiki kerosakan bumbung rumahnya yang dianggarkan mencecah kos RM30,000.

“Saya sedang berikhtiar de­ngan menyuarakan kepada saudara terdekat untuk meminjam wang selain bercadang untuk cagar barang kemas bagi mendapatkan wang tunai.

“Sekarang cuaca tidak menentu dan jika tidak dibaiki segera kemungkinan keadaan akan menjadi lebih teruk dan menyukarkan kami untuk ber­teduh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Buat masa ini kata Hasma, dia hanya menggunakan kanvas untuk menutup sementara beberapa bahagian bumbung rumahnya yang rosak.

Sementara itu, Fatimah Saad, 61, berkata, dia bimbang jika rumahnya tidak dibaiki segera akan mengundang pelbagai kemungkinan termasuk soal kese­lamatan mereka sekeluarga.

“Kayu alang banyak yang patah dan tercabut dibawa angin bersama bumbung dalam kejadian itu dan kami risau boleh berlaku runtuhan bila-bila ma­sa.

“Suami, Rusli Yahaya, 60, hanya peniaga pasar malam yang tidak mempunyai simpanan jadi kami hanya bergantung harap kepada bantuan semata-mata untuk membaiki­nya,” katanya.

Kata Fatimah kos membaiki kerosakan rumahnya mencecah RM35,000 dan dia sekeluarga buntu kerana turut tidak mene­rima sebarang bantuan.

“Kami hanya berdoa agar tidak hujan dalam masa terdekat. Saya malu untuk meminjam dari saudara kerana risau gagal menjelaskannya kelak,” katanya.

Dalam kejadian ribut pada petang Ahad lalu, sebanyak 19 buah rumah penduduk di mukim Sungai Pasir, mukim Teloi Kiri, mukim Gurun dan mukim Pekula rosak dibadai ribut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN