PETALING JAYA: Malaysia bersedia menghulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa tanah runtuh di wilayah Enga, Papua New Guinea.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bencana yang meragut ratusan nyawa itu berlaku di kawasan terpencil yang bergunung-ganang dan berceranggah pada awal pagi Jumaat.
Beliau berkata, Malaysia akan membantu sebagai respons kemanusiaan terhadap tragedi yang amat mencabar.
“Saya memikirkan nasib malang penduduk Papua New Guinea berikutan tanah runtuh dahsyat yang meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.
“Berlaku di kawasan terpencil, bergunung-ganang dan berceranggah pada awal pagi Jumaat, respons kemanusiaan terhadap tragedi ini akan menjadi amat mencabar.
“Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan kepada saudara-saudara kita di PNG,” katanya Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.
Semalam dilaporkan, lebih 100 orang dikhuatiri maut selepas tanah runtuh besar melanda kawasan pegunungan terpencil di Papua New Guinea.
Menurut Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), bencana alam itu melanda ketika orang ramai sedang tidur, kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan), memusnahkan kampung Kaokalam di wilayah Enga.
Penduduk kampung berkata, jumlah yang terbunuh mungkin lebih tinggi, dengan video di media sosial menunjukkan penduduk tempatan mengeluarkan mayat yang tertimbus.
Gabenor Wilayah, Peter Ipatas memberitahu media, lebih daripada enam kampung terjejas akibat kejadian itu yang turut disifatkan sebagai bencana alam terburuk yang belum pernah berlaku sebelum ini dan menyebabkan kerosakan besar.
Pasukan medik, tentera, polis dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikerah ke kawasan itu untuk menilai kerosakan dan membantu mangsa yang cedera.- UTUSAN










