PETALING JAYA: Sebanyak 11,696 kes jenayah komersial direkodkan sejak 1 Januari hingga 12 Mei tahun ini dengan purata 88 kes dilaporkan berlaku sehari di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah terbabit, sebanyak 5,550 kertas siasatan dituduh di mahkamah.
Katanya, sejumlah 47 peratus daripadanya melibatkan jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini.
“Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 5,367 pertuduhan atau bersamaan 45 peratus.
“Berdasarkan rekod, sepanjang 1 Januari hingga 30 April lalu, kami membuka sebanyak 10,179 kertas siasatan manakala 67.3 peratus atau 6,855 kes daripadanya adalah melibatkan jenayah bersindiket dengan kerugian RM378.32 juta,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Ramli, mengikut pecahan, sebanyak 2.254 jenayah belian dalam talian dengan nilai kerugian RM20.336 juta direkodkan manakala penipuan pelaburan (1,767 kes) melibatkan kerugian terbesar iaitu RM231.47 juta dan pinjaman tidak wujud (1,158 kes) membabitkan RM12.50 juta.
Katanya, penipuan telefon mencatatkan 679 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM33.83 juta diikuti 264 kes along dengan nilai kerugian (RM1.03 juta) dan 233 kes Love Scam (RM7.45juta).
Selain itu, kata beliau, sebanyak 65 kes penipuan tanah membabitkan jumlah kerugian RM56.79 juta dicatatkan selain penipuan wang palsu(321) kes dengan jumlah kerugian RM85,206.
“Kita juga menyiasat kira-kira 65 kes penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan kerugian RM851,618, 13 kes penipuan kad kredit membabitkan kerugian wang RM105,226 manakala empat kes penipuan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) turut direkodkan.
“Kita juga menerima tiga kes penipuan bomoh dengan kerugian RM85,750, tiga kes penipuan toto (RM167,550), dua kes penyamaran bersemuka (RM1,310) dan satu kes gores dan menang (RM20,000),” ujarnya. – UTUSAN










