SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang giat mengesan seramai 1.5 juta umat Islam di negeri ini yang belum menunaikan zakat biarpun berkelayakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, individu itu mungkin tidak menerima maklumat atau belum bersedia menunaikan tanggungjawab menunaikan rukun kelima Islam tersebut.
Bagaimanapun, pihaknya menyediakan pelbagai platform termasuk usaha berdakwah bagi memberi kesedaran kepada golongan itu.
“Kami kena melihat pelbagai aspek dan pendekatan seperti demografi usia antaranya kaedah media sosial bagi golongan muda manakala medium elektronik dan cetak kepada mereka yang lebih berusia,” katanya pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) di sini, semalam.
Dalam pada itu, kata Mohd. Sabirin, seramai 12,095 asnaf fakir dan miskin dikenal pasti di daerah Petaling sekaligus mencatatkan jumlah tertinggi tahun lalu.
“Jumlah yang direkodkan itu meliputi seramai 4,196 fakir dan 7,899 miskin daripada keseluruhan 65,704 penerima. Daerah Klang mencatatkan kedua tertinggi iaitu seramai 11,477 asnaf diikuti Hulu Langat iaitu 9,671 orang,” ujarnya.
Tambah beliau, LZS mendapati kemiskinan di Selangor tertumpu di kawasan bandar iaitu di Petaling, Klang dan Hulu Langat. – UTUSAN










