SHAH ALAM: Pembayaran zakat pendapatan di negeri ini menunjukkan peningkatan ketara terutama melalui skim pemotongan gaji yang menyumbang sehingga RM600 juta.
Malah, kutipan yang dibuat melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu mencatatkan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu menunjukkan kesedaran umat Islam terhadap tanggungjawab menunaikan rukun Islam ketiga itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd. Khaidzir Shahari, berkata, faktor peningkatan tersebut turut disumbang oleh kerjasama daripada majikan yang membenarkan kempen LZS dijalankan di premis dan jabatan sumber manusia yang membantu pemotongan gaji pekerja.
“Sebab kita kena faham di Selangor, kita adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang paling tinggi di Malaysia, jadi tenaga kerja pun ramai. Kadang-kadang kita pergi kempen di kilang, pekerjanya tidak wajib bayar zakat pun. Tetapi nak potong juga dalam RM5 hingga RM10. Semangat ini amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan perasmian Karnival Zakat Selangor dan pelancaran Kempen Impak Dirasa yang disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda.
Beliau menambah, pembayaran zakat korporat turut menunjukkan peningkatan walaupun tidak ketara, namun masih sekitar 20 peratus.
Ini kerana, kemungkinan bukan semua pemegang saham dalam syarikat-syarikat yang ada terdiri dalam kalangan umat Islam
“Namun, kalau syarikat 100 peratus Muslim, Alhamdulillah. Saya nampak kesedaran itu sudah ada dan meningkat. Justeru, kita dalam landasan bagi mencapai sasaran kuitipan zakat RM1.328 bilion pada tahun ini,” ujarnya.
Ketika mengulas bahawa 60 peratus penerima LZS bukan berasal dari Selangor, Mohd. Khaidzir berkata, ia hanya melibatkan sistem kod kelahiran seseorang. – UTUSAN










