Lepasan SPM tidak minat sektor perubatan

Lepasan SPM tidak minat sektor perubatan

Terdapat kebimbangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia makin kurang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ekoran banyak isu yang ditimbulkan masa kini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak (HDK) bimbang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak berminat melanjutkan pengajian dalam sektor perubatan susulan pelbagai isu dihadapi dalam bidang kesihatan awam.

Difahamkan, purata ambilan siswazah perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) beberapa tahun kebelakangan ini sekitar 3,000 hingga 4,000 orang setahun, sedangkan Kementerian Kesihatan membenarkan pengambilan 4,820 orang setahun.

Jurucakap HDK, Dr. Muhammad Yassin berkata, keadaan itu dikhuatiri menyebabkan jumlah doktor pelapis berkurang sekali gus menyukarkan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat.

“Secara umum memang ramai lebih suka ceburi bidang seperti pengkomputeran, fotografi dan perniagaan.

“Selain itu, ramai juga yang terpengaruh dengan dengan propaganda yang disebarkan dalam media sosial mengenai ‘tak sambung belajar pun boleh jadi kaya’. Ramai termakan dengan dakyah-dakyah seperti itu.

“Namun tidak dapat dinafikan, isu-isu dalam sektor perubatan itu sendiri menjadikan sebab mereka menjauhi sektor ini. Isu (perjawatan) kontrak, beban tugas, isu buli dan lain-lain lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Krisis dalam sektor kesihatan mula terdedah selepas sekumpulan doktor kontrak melakukan mogok akibat ketidakpuasan dalam sistem penjagaan awam.

Antaranya didakwa membabitkan isu berkaitan burn out dalam kalangan petugas kesihatan, waktu bekerja, kekurangan doktor, isu perjawatan tetap dan kekurangan doktor pakar.

Malah, akhbar ini semalam melaporkan, hampir semua klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara dilaporkan beroperasi dalam keadaan kurang kakitangan sehingga menyebabkan berlaku lambakan tugas dan memanjangkan lagi tempoh menunggu.

Tinjauan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendapati hanya lima peratus kemudahan penjagaan kesihatan awam mempunyai tenaga yang mencukupi.

Hampir separuh daripada responden memaklumkan kekurangan sumber tenaga itu berpunca daripada doktor yang memilih untuk berhenti kerja atau berpindah.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Yassin berkata, lepasan SPM bagaimanapun dinasihatkan be­tul-betul berminat jika mahu me­nyambung pelajaran dalam kursus perubatan.

Jelasnya, pemilihan sesuatu bidang pengajian itu perlu bergantung terhadap minat pelajar dan bukannya berdasarkan per­spektif daripada mana-mana pihak termasuk ibu bapa.

“Sekiranya mereka tidak berminat, ibu bapa jangan paksa mereka hanya kerana mereka dapat keputusan yang baik dalam SPM. Nanti mereka akan rasa terbeban dengan tekanan kerja dan perkara itu yang menyumbang kepada mutu kerja yang tidak berkualiti.

“Namun, sekiranya berminat, maka insya-Allah mereka tidak akan rasa terbeban dan bekerja demi nawaitu sebagai seorang doktor,” katanya.

Sementara itu, Presiden MMA, Dr. Azizan Abdul Aziz dalam satu kenyataan menyarankan pelajar dan ibu bapa mengenali profesion perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang terbabit.

Katanya, mereka perlu sedar tentang cabaran dan komitmen yang terlibat dalam sektor kesihatan kerana walaupun kerjaya dalam bidang perubatan boleh memberikan kepuasan namun ia bukan untuk semua orang.

“Perubatan juga adalah salah satu kursus paling mahal dan pa­ling lama untuk diselesaikan. Kos belajar perubatan berjumlah antara RM250,000 hingga RM650,000 bergantung kepada universiti dan mengambil masa sekitar lima tahun untuk dihabiskan.

“Setelah menamatkan pe­ngajian, graduan perubatan dikehendaki menjalani latihan klinikal (HO) dalam sistem penjagaan kesihatan awam. Di peringkat ini, pelajar perubatan paling cemerlang pun tercicir kerana tuntutan kerja,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Azizan berkata, pelajar yang menganggap perubatan sebagai kerjaya perlu cakna dengan sistem kontrak dan bersedia berkhidmat di mana-mana kemudahan penja­gaan kesihatan sebagai sebahagian daripada latihan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN