SEREMBAN: Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan melontarkan kemusykilan sama ada larangan kepada penjawat awam khususnya pegawai tertinggi kerajaan memegang jawatan politik sudah dimansuhkan.
Ini susulan tular di media sosial paparan infografik ucapan tahniah atas pelantikan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Roslan Hussin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Lebih menjadi tanda tanya apabila infografik tersebut dikeluarkan atas nama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) tersisip logo PKR bersebelahan jata rasmi kerajaan.

Pengerusinya, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, walaupun penafian telah dibuat oleh JPNS tentang infografik berkenaan, namun penafian ke atas pelantikan jawatan MPP tidak dinyatakan.
“Malah dalam satu laporan berita tempatan turut menyebut nama Dr. Roslan antara individu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan PKR yang baharu.
“Saya ingin melontar kemusykilan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan sama ada larangan kepada penjawat awam khususnya pegawai tertinggi Jabatan Pendidikan sudah dimansuhkan?
“Sebagaimana diketahui, Kerajaan Madani menekankan hal ketelusan dan kecekapan tatakelola pentadbiran tetapi bagaimana seorang penjawat tinggi awam boleh dilantik dalam jawatan parti?
“Saya turut bimbang apakah ketelusan tatakelola dalam jabatan-jabatan kerajaan akan berlangsung dengan cekap apabila adanya elemen ‘kepartian’ kesan penglibatan pegawai tinggi jabatan kerajaan dalam organisasi politik?” soal beliau.
Sementara itu, Dr. Roslan ketika dihubungi tidak mengulas lanjut namun berkongsikan kenyataan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) di laman media sosial Facebook.
Menerusi kenyataan itu, JPNS telah meneliti satu poster yang tular di media sosial berhubung ucapan tahniah yang mewakili JPNS.
“Setelah semakan dibuat, poster tersebut tidak dikeluarkan oleh mana-mana sektor/unit atau Pejabat Pendidikan Daerah di JPNS.
“Oleh itu, pihak JPNS tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa implikasi negatif akibat penyebaran poster tersebut, ” ujar kenyataan tersebut. – UTUSAN










