Lapan warganegara Bangladesh ditahan disyaki terlibat sindiket penyeludupan manusia

Lapan warganegara Bangladesh ditahan disyaki terlibat sindiket penyeludupan manusia

SINDIKET menyeludup pendatang asing tanpa izin ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia dengan menahan lapan warga Bangladesh di ibu negara, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh dalam satu operasi khas, kelmarin di sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan operasi diatur gerak ke premis kediaman dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan di lot parkir premis tersebut.

“Suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas. Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki sebagai ‘transporter’ berusia lingkungan 33 tahun bersama dua orang PATI lelaki warganegara Bangladesh.

“Hasil siasatan awal, pasukan operasi telah memeriksa premis kediaman dan menahan lima orang PATI lelaki warganegara Bangladesh. Kesemua dua warganegara asing yang ditahan berusia lingkungan 21 tahun hingga 38 tahun.

“Jumlah keseluruhan warganegara Bangladesh yang ditahan seramai lapan orang. Kesemua warganegara asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, pasukan operasi merampas 10 naskhah pasport Bangladesh, tiga unit telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM500 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai untuk mengangkut PATI.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah membawa PATI terutama warganegara Bangladesh yang mencari peluang pekerjaan secara haram di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam. Kemudian dari Vietnam, PATI akan dibawa menaiki kereta ke Thailand.

“Seterusnya, PATI dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan dan ‘transporter’ warga tempatan membawa PATI ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.

“PATI dihantar ke lokasi yang dipilih sendiri setelah selesai membuat bayaran kepada ejen warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia.

“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap seorang PATI dan telah beroperasi selama dua bulan,” katanya.

Beliau memberitahu, kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“‘Transporter’ ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Warganegara asing yang lain ditahan pula kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN