KUALA KANGSAR: Lapan individu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memasuki hutan simpanan kekal (HSK) di Hulu Perak pada Mac lalu.
Kesemua tertuduh ialah Mohamad Shukri Abd. Latif, 46, Jamil Chew Abdullah, 55, Che Mohd. Rabillah Che Hassan, 36, Mohd. Fadzli Abd. Latif, 44, Fahmie Adiran Azmi, 35, Muhammad Rezwan Harun, 41, Mohd. Anuar Md. Jusoh, 50 dan Azrul Hafizi Abdullah, 41.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memasuki HSK tanpa permit yang sah antara tarikh 7 hingga 8 Mac lalu di Kompartmmen 359 Hutan Simpan Banding dalam daerah Hulu Perak.
Pertuduhan mengikut Seksyen 47 (1)(c) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 47 (4) enakmen sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Peguam, Ahmad Adha Amir Yasser yang mewakili kesemua tertuduh merayu mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum dengan alasan pengakuan bersalah tersebut menjimatkan masa mahkamah.
Beliau juga berhujah bahawa tertuduh berada pada masa dan lokasi yang salah dan tidak boleh dikaitkan dengan kegiatan pengeboman ikan di lokasi kejadian.
Sebaik sahaja mengaku bersalah, Rohaida memerintahkan kesemua tertuduh didenda sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh dan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Kes itu mendapat perhatian ramai kerana didakwa terkait dengan video tular kononnya terjadi tindakan pengeboman ikan di hutan simpan.
Mengikut fakta kes, pada 10 Mac tahun ini terdapat beberapa video tular dalam laman media sosial mengaitkan dakwaan kegiatan pengeboman ikan oleh sekumpulan ahli kelab pacuan empat roda yang dipercayai berlaku dalam hutan simpan di Gerik.
Video turut memaparkan beberapa individu menunjukkan hasil tangkapan ikan yang banyak dengan pelbagai saiz.
Pada 11 Mac, seorang pengadu bersama Renjer Hutan Banding dan anggota polis IPD Gerik telah ke lokasi video tular tersebut dan hasil semakan disahkan kawasan dalam video tular itu adalah Kompartmmen 359 Hutan Simpan Banding dan laporan polis telah dibuat.
Video yang tular itu mencetuskan isu kerana mendakwa berlaku kegiatan pengeboman ikan dan siasatan lanjut dibuat oleh pihak berkuasa. – UTUSAN







