SHAH ALAM: Kerajaan akan memperkasakan industri landskap sebagai sumber ekonomi baharu negara dengan nilai kira-kira RM30 bilion yang menyumbang kepada dua peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Jabatan Landskap Negara (JLN) sedang memperkemaskan sistem jaringan, mendaya upaya potensi ekonomi industri itu selain melindungi aset serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan landskap.
Menurutnya, ia selari titah dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya kerajaan proaktif melaksanakan agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing negara dengan ekonomi mampan dan keperluan semasa.
“Industri landskap semakin menunjukkan impak positif kepada nilai ekonomi negara dan melengkapi keperluan perancangan pembangunan mampan selain memulihara persekitaran kehidupan inklusif terutama di kawasan perbandaran.
“Berdasarkan Jabatan Perangkaan, industri landskap kini bernilai hampir RM30 billion dan menyumbang dua peratus kepada KDNK,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di Taman Tasik Shah Alam di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian sambutan itu diiringi anakandanya, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. – UTUSAN










