KPDN rampas 15,800 liter diesel diseleweng - Utusan Malaysia

KPDN rampas 15,800 liter diesel diseleweng

MUHAMMAD Nizam Jamaludin (dua kanan) bersama pegawai KPDN menunjukkan tangki dan peralatan memindahkan minyak dalam sebuah treler yang dirampas kerana menyeleweng diesel di Kubang Pasu. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sebanyak 15,800 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng pihak tidak bertanggungjawab dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam dua serbuan berasingan semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan pertama melibatkan sebuah treler yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Muda Kuari, Jitra di sini.

“Pemeriksaan kira-kira pukul 8.30 malam itu menemukan 6,000 liter diesel yang disimpan dalam treler terbabit tanpa permit yang sah. Nilai diesel berkenaan adalah RM12,900.

“Dalam serbuan itu, pemilik stesen minyak terbabit ditahan untuk siasatan lanjut namun siasatan mendapati tiada individu atau pemandu treler ditemui berhampiran itu yang dipercayai telah melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Muhammad Nizam berkata, rampasan kedua pada hari sama berjaya dilakukan oleh Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah stor yang terletak di Kuala Kedah, dekat sini.

Katanya, serbuan menemukan 9,800 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM21,070 selain merampas empat buah lori beserta tangki dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak.

“Seramai sembilan individu terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing yang berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun turut ditahan dalam serbuan itu,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan yang disita bagi kedua-dua serbuan itu berjumlah RM149,020 termasuk kenderaan dan peralatan-peralatan yang dirampas.

Sementara itu, ujar Muhammad Nizam, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada minyak diesel yang diseleweng itu untuk kegunaan industri atau diseludup ke negara jiran.

“Kita akan melihat kebarangkalian kedua-dua situasi itu dalam siasatan yang sedang dilakukan secara menyeluruh ketika ini bagi memastikan pihak terlibat dikenakan hukuman setimpal mengikut kesalahan yang dibuat,” katanya.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan berdepan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun bagi kesalahan pertama dan denda maksimum RM3 juta atau lima tahun penjara bagi kesalahan berikutnya.

Manakala bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×