Kolaborasi bersyarat - Alyph buka 'pintu' kerjasama dengan penulis Indonesia - Utusan Malaysia

Kolaborasi bersyarat – Alyph buka ‘pintu’ kerjasama dengan penulis Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua dekad, rapper asal Singapura, Alyph bakal merekodkan pencapaian tersendiri menerusi album sulungnya yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Pemilik nama sebenar Alif Abdullah itu memaklumkan album berkenaan yang akan memuatkan lebih 10 lagu sudah pun disiapkan dan menunggu tempoh yang sesuai untuk dipasarkan.

“Dalam hidup, saya tak banyak merancang. Selepas kumpulan Sleeq dibubarkan, saya bermula solo.

“Dalam tempoh itu, saya terbabit dengan banyak projek melibatkan artis lain termasuk Sona One, Kaka Azraff, Andi Bernadee dan ramai lagi. 

“Sehinggalah pandemik melanda, barulah saya sedar yang bahawasanya saya kena terbitkan album untuk diri sendiri.

“Buat album bukan mudah, saya kena imbau semula perjalanan saya selepas keluar Sleeq sehinggalah sekarang. Ia makan masa, dan sebab itulah saya akan keluarkan album tidak lama lagi,” kongsinya ketika melancarkan lagu Dari Jauh, baru-baru ini.

Dari Jauh yang akan menjadi lagu kesebelas dalam album Alyph, ditulis rapper ini bersama komposer asal Indonesia, Teddy Adhitya.

Katanya, single tersebut juga adalah lagu pertama yang ditulisnya dengan penulis lain.

“Ini kali pertama saya beri kepercayaan kepada penulis lain untuk menulis lagu bersama saya. Banyak lagu yang saya nyanyikan sebelum ini adalah ciptaan saya sepenuhnya.

“Kali ini lain, ibarat lakukan terjun udara, ambil risiko. Memang saya banyak bertindak tanpa fikir semasak-masaknya. Hanya bersandarkan firasat semata-mata.

“Kolaborasi kami bersyarat, saya tak mahu dia buat saya nyanyi seperti caranya. Nak dapatkan komposer yang faham konsep penyanyi lain bukan senang. Saya lega Teddy faham saya artis yang bagaimana,” jelasnya.

Kata Alyph, dia tidak meletakkan sasaran agar lagu berkenaan setara dengan lagu Swipe yang sebelum ini mencetuskan fenomena.

Katanya, dia hanya berharap pendengar menikmati lagu tersebut dan selebihnya dia serahkan kepada ketentuan Allah S.W.T.

“Fenomena adalah rezeki, saya buat lagu bukan sebab itu, sebaliknya hanya mahu hasilkan sesuatu yang terbaik untuk pendengar.

“Terus terang, saya sedikit hampa, apabila kebanyakan pendengar hanya menghafal korus lagu Swipe walaupun single itu menjadi fenomena. Itu jelas saya lihat ketika mana saya persembahkan lagu itu secara live. 

“Keadaan itu menyedarkan saya bahawa populariti sesebuah lagu menjadi semakin singkat. Corak penerimaan pendengar sudah berubah,” tambahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×