Kilang proses sisa elektronik didalangi warga asing kaut untung cecah setengah juta

Warga asing dalang aktiviti e-waste

KEADAAN kilang memproses sisa elektronik haram didalangi warga asing yang diserbu Jabatan Imigresen di Klang, Selangor, Khamis lalu. - IHSAN JABATAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 33 warganegara asing di sebuah kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Klang, Selangor, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, warganegara asing itu terdiri daripada dua lelaki warganegara China, 27 lelaki Myanmar, dua lelaki Kemboja dan masing-masing seorang wanita Myanmar serta Kemboja.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan antara 19 tahun hingga 40 tahun yang bekerja dan tinggal di ruang kilang sejak empat bulan lalu.

“Kesemua warganegara asing ini tidak memiliki dokumen perjalanan sewaktu ditahan dan dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang yang disyaki merupakan warganegara China.

“Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa e-waste yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.

“Berdasarkan invois yang ditemukan, sisa e-waste yang diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses tersebut hanya boleh diselia oleh pekerja warganegara China yang berkemahiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi mengaburi aktiviti ini, dua warganegara China tersebut beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum meninggalkan Malaysia dengan keuntungan mencecah RM300,000 hingga RM500,000.

“Berdasarkan risikan dan maklumat yang diperoleh daripada warganegara asing yang ditahan, disyaki syarikat yang menjalankan kitar semula e-waste ini didaftarkan kepada warganegara Malaysia tetapi diuruskan secara proksi oleh warganegara China,” katanya.

Beliau berkata, Imigresen akan mengesan pemilik kilang berdasarkan nombor pasport yang diperoleh termasuk pemilik lot tanah tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×