KANGAR: Keadaan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad yang mengalami komplikasi akibat penyakit tiroid dilaporkan makin pulih dan berada dalam keadaan baik.
Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan dengan Wan Badariah juga telah mula sedarkan diri dan turut menunjukkan perkembangan positif.
“Kalau tengok pagi tadi kesihatannya bertambah baik cuma belum pasti sama ada dia sudah dimasukkan ke wad biasa atau masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Wan Badariah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri terpaksa ditidurkan bagi memberi rehat secukupnya selepas mengalami komplikasi akibat penyakit tiroid.
Dalam pada itu, Rus’sele berkata, mengikut peraturan DUN, mana-mana ADUN yang tidak hadir persidangan dewan selama enam bulan tanpa sebarang alasan akan tergugur keahliannya secara automatik.
“Sekiranya ADUN terlibat mempunyai sijil cuti atau surat, maka tiada sebarang masalah,” katanya. –UTUSAN










