PETALING JAYA: Kesesakan di penjara boleh dikurangkan sehingga 70 peratus atau kira-kira 49,000 banduan ekoran langkah kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan penagih menjalani rawatan pemulihan di luar tirai besi.
Langkah itu dapat mengurangkan perbelanjaan sekitar RM2.45 juta sehari apabila kerajaan menanggung kos harian sebanyak RM50 seorang banduan yang merangkumi kos penyediaan peralatan, kemudahan, perubatan, makanan, kawalan keselamatan, pengiringan, emolumen kakitangan dan perkara lain berkaitan.
Buat masa ini, terdapat 70,014 banduan di penjara seluruh negara sekali gus melebihi kapasiti ditetapkan sekitar 65,000 orang. Pesalah dadah adalah penghuni teramai iaitu sekitar 70 peratus.
Pengerusi Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, penagihan dadah perlu dirawat dan hukuman menghantar mereka penjara tidak menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, hampir separuh kesalahan dadah berulang berpunca daripada bekas banduan yang pernah meringkuk di penjara.
“Selama ini penagih dadah dianggap sebagai penjenayah, bukan sebagai pesakit yang perlu dipulihkan. Jadi kita hantar ke penjara, bukan menyelesaikan namun menambah masalah, bukan sahaja menyebabkan kesesakan tetapi gagal dipulihkan.
“Maka keputusan kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan penagih dadah diberi peluang menjalani rawatan pemulihan merupakan langkah terbaik dan tepat pada masanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Ismail berkata, kerajaan sedang meminda akta bagi membolehkan penagih dadah diberi peluang menjalani rawatan pemulihan dan tidak dihantar ke penjara selepas dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Untuk tujuan itu, pihak kementerian kini dalam fasa akhir meminda beberapa peruntukan dalam Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 sebelum dibentangkan di Parlimen.
Menurut Mohd. Shahirul, pihaknya pernah mencadangkan agar penagih dadah ditempatkan di sebuah lokasi terletak di kawasan pendalaman untuk menjalani pemulihan dan menjalankan program pertanian.
Katanya, ini supaya mereka diberi pemulihan tanpa paksaan sebelum menjalani kehidupan normal bersama masyarakat.
“Ini hanyalah sementara dengan penagih dadah wajar diberi ruang pemulihan dan pada masa sama menjalankan kerja-kerja mencari rezeki seperti pertanian dan sebagainya. Ini lebih tepat berbanding mengurung mereka di penjara, akhirnya tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi berkata, jumlah peningkatan dadah di negara ini menyaksikan pertambahan antara 8,350 dan 14,037 kes dalam tempoh empat tahun sejak 2020 berpunca kegagalan kaedah untuk memerangani penggunaan bahan terlarang itu.
Katanya, kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun untuk kempen menangani penyalahgunaan dadah namun masih belum mencapai sasaran dan menyebabkan kes terus meningkat setiap tahun.
“Ini kerana kaedah memerangani dadah hanya bersifat ceremony (majlis), tunggu orang kenamaan hadir rasmi program, itu sahaja, tetapi tidak melihat daripada impak keberhasilan sesuatu kempen dianjurkan,” katanya.
Raja Azizan berkata, kerajaan dan agensinya tidak boleh bergerak silo untuk menangani dadah sebaliknya perlu melibatkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar kempen memerangi dadah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif.
“Memandangkan kita kekurangan pakar psikiatri, seharusnya kerajaan perlu melibatkan semua NGO dalam usaha menangani penggunaan dadah sekiranya berdepan tekanan jiwa. Kebanyakan NGO ada lebih banyak pengalaman dan telah berjaya melaksanakan usaha memerangi dadah dengan lebih efektif,” katanya.
Katanya, kes tekanan mental dalam kalangan masyarakat juga bertambah serius sehingga memaksa mereka mengambil dadah sebagai langkah singkat untuk mengurangkan stress dan perasaan.
Tahun lalu, kerajaan salurkan peruntukan tahunan berjumlah RM429 juta kepada Agensi Antidadah Kebangsaan bagi membanteras dadah yang meliputi emolumen dan gaji pegawai, pengurusan agensi dan pelaksanaan program pencegahan, penguatkuasaan serta rawatan dan pemulihan. – UTUSAN










