KUALA LUMPUR: Kes lelaki Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua tuduhan memperdagangkan enam pucuk pistol dan memiliki ratusan butir peluru akan mula dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini bermula 30 September ini.
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh tersebut selepas kedua-dua pihak terlibat tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Tarikh-tarikh bicara yang ditetapkan ialah 30 September serta 1 hingga 3 dan 7 hingga 11 Oktober ini. Mahkamah turut menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkan pihaknya akan memanggil 20 orang saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu,
Beliau yang dibantu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Fazeedah Faik turut memaklumkan pihaknya telah menyerahkan 17 jenis dokumen kepada pembelaan antaranya Laporan Kebolehpakaian Senjata Api dan Peluru, laporan-laporan polis, gambar-gambar tempat kejadian dan barang kes serta Laporan-Laporan Maklumat Pertama (FIR).
Tambahnya, masih terdapat beberapa dokumen yang masih belum diserahkan kepada pembelaan dan akan menyerahkannya pada sebutan kes akan datang. Pada prosiding hari ini, Shalom diwakili peguam-peguam bela, Navinjit Singh dan Jeffrey Ooi.
Terdahulu, Mohamad Mustaffa memohon dua pertuduhan yang dikenakan terhadap Shalom sebelum ini dipinda.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, lelaki berusia 38 tahun itu didakwa memperdagang enam jenis pistol antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang, 28 Mac lalu di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.
Enam pistol tersebut adalah Glock 19 USA 9x 19 (sebelum ini 9x 10), Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P (sebelum ini N&P) 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri).
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.
Bagi pertuduhan pindaan kedua yang membabitkan pertambahan bilangan peluru iaitu 16 butir peluru yang berada di dalam senjata api Glock 17, 11 butir peluru yang berada di dalam senjata api, M&P 9C Smith & Wesson dan 15 butir peluru dalam senjata api, Stoeger Cougar 8000F.
Sebelum ini, Shalom didakwa pada masa, tarikh dan tempat sama memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co. Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Norina membenarkan permohonan tersebut dan pertuduhan pindaan kemudiannya dibacakan semula terhadap Shalom. Tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya bagi kedua-dua pertuduhan pindaan terbabit.
Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 8 April lalu, suri rumah, Sharifah Faraha Syed Husin dan suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.
Mereka sebelum ini ditahan sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu kerana disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu. – UTUSAN










