PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan belum menerima permohonan berhubung pembinaan sistem tren transit aliran ringan (LRT) di Langkawi yang dirancang kerajaan negeri Kedah.
Menterinya, Anthony Loke berkata, kerajaan negeri secara dasarnya perlu membuat permohonan Skim Kereta Api daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu.
“Kementerian Pengangkutan tidak dimaklumkan, itu pengumuman daripada kerajaan negeri Kedah, itu terpulanglah. Apa sahaja projek dari segi undang-undang perlu skim keretapi yang diluluskan oleh APAD.
“Jadi, setakat ini belum ada permohonan untuk itu. Saya lihat pengumuman itu hanya setakat MoU untuk membuat kajian untuk kebolehlaksanaan itu terpulang kalau mereka ada tindakan seterusnya syarikat tersebut ada usaha sama untuk membuat pelaburan boleh memohon skim kereta api daripada APAD,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbart selepas merasmikan ExecuJet MRO Service di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya dekat sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan negeri Kedah merancang membina LRT menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi.
Eeco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih bagi melaksanakan kajian projek yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
Katanya, RETD bakal bekerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu kepada ekonomi setempat. – UTUSAN










