PETALING JAYA: Empat fokus diberi keutamaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam memastikan kualiti pendidikan di Tabika dan Taska di bawah pentadbiran menepati matlamat ditetapkan.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi berkata, fokus itu bagi menepati hasrat kerajaan melalui beberapa inisiatif yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam.
Kata beliau, KEMAS mengorak langkah sejak tahun lalu dalam merangka teras berkenaan supaya pendidik bersedia dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pendidikan digital semasa.
Antaranya, meningkatkan keupayaan digital kakitangan melalui pelaksanaan pelbagai kursus, bengkel dan program kecekapan digital pendidik, dengan kerjasama pakar akademik dan pihak industri.
“KEMAS turut menyediakan “talentful”, yang mana pendidik yang selesai mengikuti kursus dan berkemahiran akan dijadikan sebagai pakar rujuk dalam bidang berkaitan pendidikan digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, sempena sambutan Hari Guru 2024, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan beberapa inisiatif, antaranya melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan termasuk menyediakan ruang bagi guru meningkatkan kemahiran, menerusi kursus pemerkasaan teknologi, khasnya dalam domain Kecerdasan Buatan (AI) dengan nilai RM1 juta, yang menyasarkan 500 guru terpilih di seluruh negara.
Selain itu, kerjasama KPM dengan Apple Professional Learning Specialist Malaysia turut dilaksanakan bagi melatih dan membimbing 100,000 guru untuk diiktiraf sebagai ‘Apple Teacher’.
Ahmad Kamal berkata, KEMAS juga fokus untuk membangunkan bahan pembelajaran secara digital melalui penganjuran Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-Kanak (AIMPAK) dalam usaha mencungkil bakat dalam kalangan pendidik menghasilkan video pembelajaran yang relevan. – UTUSAN










