KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara dikesan mengubah modus operandi mereka dengan mengugut keluarga membayar ribuan ringgit setelah melarikan mangsa ke negara jiran.
Kesemua mangsa akan dilarikan oleh ahli sindiket di Myawaddy, sempadan Thailand-Myanmar sebaik sahaja terpedaya dengan tawaran kerja diberikan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dua keluarga yang masing-masing berasal dari Pulau Pinang dan Pahang mendakwa keluarga mereka telah mengalami nasib malang itu apabila diugut RM50,000 sebagai tebusan ahli keluarga yang diperdaya.
Kata beliau, modus operandi ini bukan sahaja melarikan mangsa malah mengugut ahli keluarga demi mendapatkan wang secara terus.
“Pada masa sama, sindiket ini akan menghantar mesej ugutan dan gambar mangsa dikurung mahupun dikelar tangan, didera kepada keluarga,” katanya ketika sidang akhbar di Menara Avenue 1, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang mangsa dikenali Vyncent berusia 19 tahun dari Pahang pada mulanya dikatakan datang ke Kuala Lumpur pada 22 April dengan menaiki bas.
“Sehari selepas itu, mangsa dilaporkan sudah berada di Myanmar,” jelasnya.
Jelas Hishamuddin, pihaknya melarang ahli keluarga daripada membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan sindiket bertindak lebih agresif.
“Ahli keluarga tidak membuat pindahan wang sebanyak RM50,000 seperti yang diminta kerana tiada jaminan bahawa anak, keluarga akan dilepaskan jika berbuat demikian.
“Semakin dibayar, semakin banyak sindiket akan meminta wang tebusan. Cara terbaik untuk atasi adalah tidak berkomunikasi dengan sindiket,” tegasnya.
Sehubungan itu, MHO meminta ibu bapa serta keluarga agar sentiasa berkongsi perkembangan semasa mengenai taktik sindiket khususnya sindiket pekerjaan luar negara kepada ahli keluarga.
Pihaknya menasihati orang ramai agar tidak masuk perangkap sindiket yang menawarkan pekerjaan dengan gaji yang tidak masuk akal bagi mengelak menjadi mangsa sindiket seterusnya.
Sementara itu, bapa kepada mangsa dikenali Chang, 57, berkata, anaknya yang bekerja sebagai jurujual komponen kenderaan itu menghantar mesej melalui aplikasi Weechat mengenai keberadaannya di sana.
“Dia menghantar pesanan suara memberitahu supaya membayar wang sebanyak RM50,000 untuk dihantar pulang.
“Saya gagal menghubungi dia ketika itu dan dia ada hantar gambar digari dalam satu ruangan namun saya tidak pasti individu itu adalah anak saya,” ceritanya.
Turut menerima nasib sama iaitu penghantar barangan sepenuh masa iaitu Kau, 37, yang dilarikan sindiket setelah mengikuti rakannya untuk berkunjung ke Thailand bagi upacara sembahyang pada 6 Mei lalu.
Isteri mangsa, Law, 33, berkata, dia sempat berpesan kepada suami untuk berkongsi lokasi semasa kerana bimbang akan keselamatannya usai tiba di Thailand pada 7 Mei.
“Suami saya cakap dia ditangkap orang jahat dan telah dibawa masuk ke sempadan Myanmar. Selepas itu, dia meminta RM50,000 sebagai tebusan, jika tidak dia akan dijadikan hamba bekerja selama tiga tahun di sana.
“Saya sangat risau dan hampir setiap hari saya menerima mesej ugutan dan gambar dia dipukul. Suami hantar gambar kepala berbalut dan berdarah kerana dipukul, ia buat saya lagi tak sanggup dan tidak tenang.
“Saya yakin yang menghantar mesej itu bukan suami saya kerana suami saya tidak tahu tulis Cina, dia biasa akan buat pesanan suara sahaja,” katanya. – UTUSAN










