NIBONG TEBAL : Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dijangka memaklumkan kekosongan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), esok.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika memberitahu perkara itu berkata, semua urusan berkaitan akan diserahkan kepada SPR berhubung kekosongan kerusi tersebut selepas ini.
“Kita serah kepada SPR selari dengan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Acheh di sini, petang tadi.
Terdahulu, Kon Yeow turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu.
“Kita baru kenal selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) Ogos lalu dan baru sempat bersidang sekali sahaja. Namun kita menerima hakikat ini,” kata beliau.
Nor Zamri sebelum itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 1.38 petang ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Acheh untuk penghormatan terakhir sebelum disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Sungai Acheh kira-kira pukul 6 petang.-UTUSAN










