ALOR SETAR: Kekalahan kedua Liga Super memaksa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus kempunan meraih mata apabila tewas 0-2 pula kepada Perak FC di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan lebih 9,000 penyokong sendiri, Kedah tersentak dengan jaringan pertama The Bos Gaurus pada minit ke-16 oleh pemain Korea Selatan, Lee Tae-min selepas jaringan itu disahkan melalui semakan semula oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
Tuan rumah cuba bangkit untuk memburu gol penyamaan melalui beberapa siri serangan namun tidak membuahkan hasil.
Sang Kenari mendapat peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada babak kedua namun percubaan termasuk daripada Sukhrob Nurullaev, Halim Saari dan Milos Gordic tetap gagal menembusi gawang.
Tae-min sekali lagi menceriakan penyokong Perak melalui jaringan keduanya pada minit ke-76 bermula dengan gerakan serangan balas dari bahagian tengah menjadikan kedudukan 2-0.
Dua minit sebelum tamat permainan, Sony Norde hampir meledak gol menerusi percubaan di depan gawang, namun rembatannya hanya singgah di palang Perak.
Kedah sebelum ini kalah 0-1 kepada Selangor dalam perlawanan kedua dan dipotong tiga mata walaupun menang pada aksi pembukaan Liga Super menentang PDRM FC, sebelum ini. -UTUSAN











